Saturday, February 19, 2011

Keratan Akhbar

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan kempen yang lebih menyeluruh dan bersepadu membabitkan pelbagai pihak bagi menangani masalah disiplin pelajar termasuk gengterisme pada tahun depan.

Kempen berkenaan akan membabitkan polis, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pelajaran Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kempen itu akan digerakkan
oleh Jawatankuasa Bertindak Bagi Pendekatan Perundangan dan Penguatkuasaan
serta Jawatankuasa Bertindak Melalui Pendekatan Psikologi dan Kesihatan.

"Formula kerjasama dengan pelbagai pihak di luar kementerian didapati amat membantu

untuk menangani isu dan masalah di luar bidang kuasa dan kepakaran kementerian.

"Justeru, kita memperluaskan formula kerjasama ini dengan pihak lain menerusi
jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Terbaru, kerjasama dengan pakar psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia

(HUKM) dan Kementerian Kesihatan dalam Program Minda Sejahtera (Promis),
bertujuan membantu guru mengenal pasti murid bermasalah dan berisiko terbabit
dalam masalah disiplin dan jenayah.

Beliau turut mengalu-alukan penubuhan Majlis Permuafakatan Tindakan Membendung
Masalah Jenayah membabitkan pelajar antara Kementerian Pelajaran dan polis, yang dipersetujui pada mesyuarat minggu lalu.

Persetujuan menubuhkan majlis itu dicapai pada mesyuarat yang masing-masing diketuai
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan.

"Majlis permaufakatan ini yang dibentuk pada setiap peringkat termasuk negeri dan
daerah akan memantapkan lagi mekanisme Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin yang ditubuhkan pada 20 April 2004," katanya.

Majlis berkenaan bertanggungjawab melaporkan semua perancangan, hasil, tindakan
serta program kepada Sekretariat Tetap Menangani Gejala Disiplin.

Tindakan susulan dan pelaksanaan program akan dibantu oleh empat jawatankuasa
bertindak yang bertanggungjawab ke atas isu sekolah, pendekatan undang-undang dan penguatkuasaan, kemasyarakatan serta psikologi dan kesihatan.

Sambil menghargai bantuan polis menangani gejala disiplin pelajar dan jenayah, Hishammuddin
berkata, kerjasama itu sudah menunjukkan kesan positif seperti menangani ancaman kumpulan gengster dan kongsi gelap.



Sumber : Berita Harian

0 comments: